KUALA KLAWANG: Datuk Seri Jalaluddin Alias akan mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu dalam pemilihan bermula Sabtu ini.
Katanya, beliau bersedia jika ada calon lain yang ingin merebut jawatan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, UMNO Jelebu akan tetap mengekalkan semangat kekeluargaan ketika pemilihan parti.
"Biar apa pun situasinya, ahli UMNO perlu menjaga perjuangan UMNO dan jangan dibakar 'rumah' yang sudah dibina," katanya.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Jelebu, Mohd Nazari Mohd Dakir, berkata Timbalan Ketua Bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Naib Ketua Bahagian yang juga ADUN Pertang, Noor Azmi Yusof akan mempertahan jawatan masing-masing.
Katanya, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian, Zuraida Mohd Zin juga akan mempertahan jawatan.
Katanya, jawatan Ketua Pemuda dan Puteri pula yang ketika ini disandang oleh Kamarul Zaman Abdul Latif dan Normassitah Md Diah akan membabitkan pertandingan berikutan kedua-dua penyandang sudah melepasi had usia ditetapkan.
"Pertandingan merebut semua jawatan peringkat bahagian akan diketahui sebaik saja borang pencalonan mula dikeluarkan pada Jumaat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Nazari berkata, mesyuarat dan pemilihan bagi 58 cawangan UMNO Bahagian Jelebu akan diadakan serentak mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, mesyuarat cawangan akan bermula di DUN Chennah pada Sabtu ini membabitkan 14 cawangan dan diikuti DUN Klawang yang mempunyai 16 cawangan pada Ahad.
Katanya, mesyuarat 14 cawangan UMNO bagi DUN Pertang akan diadakan pada 18 Februari, manakala bagi DUN Sungai Lui yang mempunyai 14 cawangan akan diadakan pada 19 Februari.