KANGAR: Penubuhan Kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) perlu kerana gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan dianggap rapuh.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kewujudan Kabinet bayangan satu tindakan bijak daripada pimpinan PN dan wajar pada waktu ini.
"Dengan kedudukan Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti lain yang dilihat tidak begitu mantap, saya rasa amat perlu ada Kabinet bayangan daripada PN.
"Ini sebab sekiranya terdapat kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan, PN berada dalam keadaan yang bersedia untuk mempimpin kerajaan dan ini satu tindakan yang bijak oleh pimpinan PN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) di sini hari ini.
Turut hadir Yang DiPertua MPKPs, Norazlan Yahaya.
Katanya, dalam isu membabitkan pembekuan beberapa akaun milik komponen PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau yang juga Pengerusi PN Perlis menggesa agar pembekuan akaun berkenaan tidak dilakukan dalam jangka masa yang lama, memandangkan beberapa pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.
"BERSATU sebagai rakan dalam PN ini parti baru dan saya tak jangka mereka mempunyai banyak duit sampai perlu dibekukan.
"Selain itu, memandangkan PRN di beberapa lagi buah negeri ini terlalu hampir, perlu bagi keadilan untuk mereka menggerakkan jentera dalam memastikan semua negeri yang melaksanakan PRN akan dimenangi oleh PN," katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kabinet bayangan untuk menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.