Jumaat, 3 Februari 2023 | 8:37am
Nurul Hazwani ingin mewujudkan penanda aras baharu untuk Puteri UMNO.
Nurul Hazwani ingin mewujudkan penanda aras baharu untuk Puteri UMNO.

Nurul Hazwani tawar diri calon Ketua Puteri

KUALA LUMPUR: Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata, Puteri UMNO ialah sayap yang boleh memainkan peranan penting dalam mencorak dan membantu orang Melayu serta Bumiputera, terutama wanita muda dalam menghadapi cabaran dunia yang moden ini.

Katanya, jika kita mengambil keputusan untuk bersaing tanpa membuat apa-apa persediaan, kita akan dilihat terkebelakang apabila seluruh dunia bergerak ke hadapan.

"Untuk 'keep up' (bersaing), kita perlu bergerak dua kali ganda dari kelajuan yang sedia ada.

"Saya percaya apabila diberi peluang untuk mengemudi Pergerakan Puteri UMNO, visi dan misi yang ditawarkan pasti jelas dan mampu dilaksanakan dengan pelbagai agenda akan dirangka, bagi terus memperkasa wanita muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara," katanya di sini hari ini.

Nurul Hazwani yang juga Ketua Puteri UMNO Seputeh berkata, kKerangka agenda politik sihat dengan teras kepimpinan, perkaderan, pendidikan, motivasi, kesihatan dan kerjaya serta usrah rohani untuk wanita muda akan menjadi tumpuan sepanjang tempoh kepimpinannya bagi mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran.

"Saya juga mahu Puteri ini menjadi sayap yang mendukung institusi UMNO dan menjadi sebuah pasukan yang dikagumi kawan dan digeruni lawan.

"Untuk merealisasikan matlamat ini, kita perlu bergerak sederap melangkah dan berpimpinan tangan serta jangan sekali-kali meruntuhkan saf yang dibina.

"Saya juga memberi jaminan saya tidak akan melangkah sendirian, malah saya mahu maju bersama anda," katanya.

Nurul Hazwani berkata, beliau ingin mewujudkan penanda aras baharu untuk Puteri UMNO yang akan dinilai oleh semua pada masa hadapan, seiring dengan perubahan landskap politik semasa serta pengukuhan dalam parti demi untuk negara, agama dan bangsa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Kuala Lumpur. 
 Ffoto BERNAMA
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Kuala Lumpur. 
 Ffoto BERNAMA

Berita Harian X