KUALA TERENGGANU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) negeri belum bersedia untuk meletakkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pejuang negeri, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh, berkata tumpuan parti yang penubuhannya diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah memperkuatkan parti.
Selain itu, katanya, Pejuang negeri juga sedang giat mengaktifkan program bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu.
"Setakat ini, Pejuang negeri belum bersedia menghadapi PRN yang dijangka diadakan Jun depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen di Terengganu, Pejuang yang meletakkan calon bertanding di lapan kerusi Parlimen hanya memperoleh undi sebanyak 2,905.
Wan Nazari yang juga Ketua Profesional Pejuang, berkata pimpinan parti di peringkat Pusat juga belum mengeluarkan sebarang arahan agar Pejuang negeri bersiap sedia untuk menghadapi PRN.
Setakat ini, katanya, tiada arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat Pusat meminta Pejuang di negeri ini bersiap sedia menghadapi PRN.
"Walaupun tidak meletakkan calon dan menyertai PRN, Pejuang negeri masih aktif menjalankan aktiviti termasuk mengadakan pelbagai program membabitkan golongan muda.