Ahad, 18 September 2022 | 4:52pm

PRU tak sesuai musim hujan

PASIR MAS: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh kerana banyak kawasan di pantai timur sering banjir.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, berkata banjir akan menjejaskan kehadiran pengundi kerana orang ramai memberi tumpuan untuk menyelamatkan diri dan harta daripada bencana.

Katanya, agensi kerajaan pula akan membantu mangsa banjir.

"Hampir setiap tahun ahli masyarakat yang menjadi pengundi terutama di Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai terpaksa berhadapan dengan banjir.

"Saya pasti mereka ketika itu hanya memikirkan keselamatan diri dan harta benda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Simulasi dan Latihan Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata JKM mengambil langkah proaktif pengurusan bencana untuk mendedahkan orang ramai cara bertindak awal jika banjir. Katanya, program itu dapat mengukuhkan pengurusan bencana di semua peringkat di tempat bencana.

Siti Zailah melihat simulasi persiapan banjir anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Lubok Jong, hari ini. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Siti Zailah melihat simulasi persiapan banjir anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Lubok Jong, hari ini. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X