Khamis, 23 Jun 2022 | 5:41pm

Perbalahan dalam UMNO berterusan walaupun menang PRU-15 - Fitch Solutions

Oleh Rohaniza Idris

roha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perbalahan membabitkan beberapa kumpulan dalam UMNO mungkin berterusan walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Agensi penarafan kredit Amerika Syarikat (AS), Fitch Solutions berkata, berdasarkan kedudukan semasa yang memperlihatkan BN dan UMNO dalam kedudukan dominan menjelang PRU-15, isu perbalahan dalam parti itu dijangka tetap berlaku.

Perbalahan dimaksudkan itu membabitkan kumpulan yang menyokong kerajaan semasa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta mereka yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sekutunya, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Fitch Solutions berkata, perbalahan politik mungkin kurang menyerlah sebelum PRU-15 kerana UMNO ketika ini berusaha sebaik mungkin untuk merapatkan barisan dan memberi tumpuan untuk memenangi pilihan raya.

Namun, katanya risiko untuk berlakunya perbalahan antara kumpulan itu akan meningkat apabila kemenangan dicapai.

"Ini sudah tentu memberi kesan kepada Malaysia dalam membuat dasar yang berkesan dan kemampuan melaksanakannya, walaupun BN menang pada pilihan raya nanti," katanya dalam laporan penyelidikan risiko dan industri negara yang diterbitkannya seperti dilaporkan FMT.

Laporan itu menyatakan dalam jangka sederhana - dengan tidak mengambil kira kumpulan mana dalam UMNO yang bakal membentuk kerajaan - momentum perubahan akan kekal perlahan.

"Pertembungan antara kumpulan dalam UMNO mungkin kekal berterusan ketika landskap pilihan raya Malaysia kini jauh lebih kompetitif berbanding ketika BN kekal dominan dalam tempoh 61 tahun kemerdekaan Malaysia," katanya.

Fitch Solutions memaklumkan, mereka menjangkakan pilihan raya diadakan pada separuh kedua tahun ini, iaitu jauh lebih awal daripada tarikh akhir September 2023.

"Ini ada kaitan dengan 'kemenangan muktamad' BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac lalu," katanya.

Agensi itu juga menyatakan, sebarang cukai asas baharu dan peningkatan daya saing tidak mungkin dilaksanakan kerana ia tidak popular.

Berita Harian X