Ahad, 12 Jun 2022 | 2:59pm
Rosol (kiri) meninjau barang yang dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Lotus Tebrau, Johor Bahru. - NSTP/OMAR AHMAD
Rosol (kiri) meninjau barang yang dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Lotus Tebrau, Johor Bahru. - NSTP/OMAR AHMAD

Rosol nafi Azmin, Rashid Hasnon keluar BERSATU

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid menafikan akan ada lagi pemimpin parti berkenaan bakal mengikut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin meninggalkan BERSATU.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pemimpin termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dikatakan bakal keluar parti, komited dengan perjuangan BERSATU.

"Seluruh pemimpin dan dan ahli BERSATU kekal fokus kepada isu rakyat dan pentadbiran parti. Setakat ini saya tidak dengar atau nampak ada (Ahli MPT akan lompat parti) kerana semua termasuk Datuk Seri Azmin dan Datuk Rashid datang mesyuarat seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Baru-baru ini pun mereka masih datang mesyuarat MPT, berbeza jika dibandingkan dengan Datuk Zuraida kerana beliau memang sudah tiga atau empat kali tidak datang mesyuarat sebelum mengumumkan keluar parti.

"Oleh yang demikian, saya nafikan (khabar angin akan ada lagi pemimpin BERSATU bakal keluar parti) dan harap tidak adalah isu seperti itu. Fokus kita sekarang adalah untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membaiki kos sara hidup.

"Itu fokus kita sekarang sehingga PRU dan kita harap semua parti tidak kira BERSATU atau lain-lain, fokus bantu rakyat dan tingkatkan sara hidup mereka kerana semua pihak terkesan sekarang," katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Lotus Tebrau, di sini hari ini.

Rosol berkata, tindakan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang tidak menjejaskan parti kerana jawatannya dalam MPT adalah atas dasar lantikan, bukan menang bertanding.

"Kita negara bebas dan demokrasi, semua orang boleh masuk mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan, selagi tidak langgar peraturan, tidak langgar undang-undang," katanya.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar BERSATU, parti diterajui Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PBM, namun terus menyokong kerajaan dan akan berjumpa perdana menteri berhubung kedudukannya sebagai menteri.

Berita Harian X