Jumaat, 10 Jun 2022 | 2:38pm
PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah khemah besar. - Foto hiasan
PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah khemah besar. - Foto hiasan

PAS tolak untuk bekerjasama bawah khemah besar

KUALA TERENGGANU: PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah khemah besar.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui mengetahui agenda Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama di bawah khemah dengan pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, PAS menolak pendekatan cuba dibawa Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) pada pertemuan dengannya sebelum ini.

"PAS ada dimaklumkan dan tahu mengenai (khemah besar), tetapi kita tidak bersetuju dan memutuskan untuk menolaknya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto NSTP
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto NSTP

"Kita berbincang bersama dan tidak sembunyi-sembunyi, malah Muhyiddin pada pertemuan itu menerima pandangan PAS," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik, yang dilaporkan menuntut Muhyiddin bersikap jujur dan berterus-terang mengenai hala tuju kerjasama politik dengan PAS untuk menghadapi PRU-15.

Kamarudin dilaporkan berkata, PAS tidak wajar diheret bersama di bawah khemah besar atau kerjasama persefahaman pilihan raya antara BERSATU dengan parti pembangkang lain jika membabitkan hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Abdul Hadi berkata, PAS komited memperjuangkan prinsip perpaduan ummah bagi menyatu-padukan umat Islam dan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Berita Harian X