Rabu, 1 Jun 2022 | 4:24pm
Tan Sri Joseph Kurup
Tan Sri Joseph Kurup

PBRS komited kekal bersama BN, mahu peranan lebih besar

KUALA LUMPUR: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberikan parti itu peranan lebih besar dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup yakin PBRS boleh memberi saingan hebat kepada lawan dalam PRU-15 selain sudah bersedia berdepan dengan pilihan raya.

"Kami sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15, khususnya di kawasan Parlimen yang kami yakin PBRS boleh memberi saingan hebat kepada pihak lawan dalam PRU nanti. Persediaan bukan saja tertumpu kepada jentera dan pekerja yang diperlukan, tetapi dari segi tenaga dan mental.

"Kerjasama PBRS dengan rakan BN Sabah seperti UMNO, MCA dan MIC juga cukup baik," katanya berucap pada Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

PBRS memenangi satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), iaitu Parlimen Pansiangan yang diwakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Joseph memberi jaminan PBRS komited untuk tetap taat setia kepada BN walau dalam keadaan apa sekalipun kerana yakin hanya gabungan itu yang mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk menstabilkan politik serta ekonomi negara.

"Tidak perlulah bagi saya untuk menghuraikan komitmen dan ketaatan setia PBRS kapada BN. Saya minta kita kembali ke 1996 di mana pengorbanan parti ini lebih daripada cukup sehingga BN dapat bentuk kerajaan di Sabah.

"Walaupun dalam keadaan sukar dan senang, kita akan kekal bersama BN dan itulah komitmen dan taat setia PBRS kepada BN. Sehubungan itu, bagilah PBRS peranan lebih daripada yang ada sekarang," katanya.

Berita Harian X