Sabtu, 28 Mei 2022 | 2:59pm
Hajiji (tiga kanan) bersama pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pelancaran rasmi gabungan berkenaan di Kota Kinabalu. - NSTP/IZWAN ABDULLAH
Hajiji (tiga kanan) bersama pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pelancaran rasmi gabungan berkenaan di Kota Kinabalu. - NSTP/IZWAN ABDULLAH

GRS bentang 4 teras perjuangan

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan secara rasmi hari ini menggariskan empat teras yang menjadi keutamaan dalam perjuangannya, tambahan kepada Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Akujanji GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020.

Empat teras berkenaan adalah 'Sabah First' atau Sabah Diutamakan, 'Sabah Forward' atau Sabah Melangkah Ke Hadapan, 'Sabah Prosper' atau Sabah Makmur dan 'Sabah United' atau Sabah Yang Bersatu.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata teras Sabah First untuk menganjak status negeri ke kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan, selain menjadi pegangan untuk membuat susulan setiap perkara dalam siri perundingan berkaitan tuntutan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang juga Pengerusi GRS, berkata ia tidak bermaksud bahawa gabungan itu mengetepikan kepentingan nasional, namun sebagai wadah tempatan, amanah dan tanggungjawab besar adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu.

"Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran GRS.

Turut hadir, tiga Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).

Hadir sama, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

PBS, STAR, SAPP dan USNO bersama BERSATU menjadi komponen membentuk GRS selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi sebagai entiti politik baharu di Sabah pada Mac lalu.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, teras 'Sabah Forward' menekankan usaha ke arah membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus dalam membina masa depan negeri.

"Sikap, tindakan, masa dan segala sumber di Sabah perlu ditumpu dan dihalakan ke hadapan demi membina legasi kemajuan untuk dinikmati dan diwarisi generasi akan datang. Menerusi 'Sabah Prosper', GRS menekankan kesunggguhan dan komitmen melaksana serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah.

"Ia akan dilaksana dan dijayakan melalui pelan pembangunan negeri iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dirangka untuk mengisi lompong ditinggalkan pentadbiran lalu. Sungguhpun mewarisi trend kemerosotan ekonomi, ditambah cabaran COVID-19, kita berupaya bangkit melalui pelan ini.

"Alhamdulillah, sebagaimana yang dibentangkan dalam Majlis Setahun Hala Tuju SMJ baru-baru ini, banyak kemajuan yang sudah mula dicapai. Teras 'Sabah United' pula merujuk kepentingan kesatuan rakyat Sabah dalam mencapai tiga teras awal yang digariskan dalam perjuangan GRS," katanya.

Hajiji berkata GRS turut menggariskan dua prinsip politik dalam menggerakkan gabungan berkenaan iaitu, Politik Pembangunan dan Politik Akomodasi atau keterbukaan.

Berita Harian X