Isnin, 23 Mei 2022 | 8:32pm
Amirudin dijangka menang besar Ketua Cabang Gombak. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Amirudin dijangka menang besar Ketua Cabang Gombak. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Amirudin menang selesa

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dijangka menang selesa dalam pemilihan PKR, bagi jawatan Ketua Cabang Gombak.

Amiruddin yang turut merebut jawatan tertinggi iaitu Naib Presiden PKR, turut dilihat memiliki kelebihan meraih undi tertinggi dari 21 cabang PKR di Selangor yang selesai mengundi, sekaligus meletakkan kedudukannya selesa untuk mengisi satu dari empat jawatan nombor tiga PKR itu.

Sumber Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di negeri itu berkata, di cabang Gombak, dari kira-kira 3,100 anggota yang mengundi, Amiruddin mendahului dengan memperoleh sekitar 2,250 undi.

"Sekitar 1,500 diperoleh dari undi atas talian sementara lebih 700 undi diperoleh dari undi secara fizikal. Kalau dihitung, Menteri Besar menang dengan jurang undi yang begitu besar," kata sumber itu kepada BH.

Di Gombak, Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dicabar bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, pesaingnya memperoleh hanya sekitar 800 undi, sekaligus menyukarkannya untuk memintas undi yang diperoleh Amiruddin.

Pemilihan PKR di 22 cabang di Selangor berlangsung Sabtu lalu, hanya cabang Hulu Selangor yang ditangguhkan berikutan masalah persiapan dewan atau tempat mengundi.

Sementara itu, satu lagi sumber PKR memaklumkan, gandingan Amiruddin dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat memiliki harapan cerah untuk memperoleh undi tertinggi di Selangor serta beberapa negeri lain.

"Di Selangor, gandingan kedua-dua pemimpin ini nampak serasi dan dijangka boleh menang di kebanyakan cabang di Selangor dan beberapa negeri lain termasuk Perak, Sabah dan Terengganu," katanya.

Selangor merekodkan 40 peratus daripada keahlian PKR seluruh negara, iaitu penguasaan undi di negeri ini serta Sabah saja, cukup untuk memberi harapan selesa kepada mana-mana calon untuk menang dalam pemilihan PKR kali ini.

Saifuddin Nasution dijangka memenangi jawatan Timbalan Presiden. - Foto hiasan NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON
Saifuddin Nasution dijangka memenangi jawatan Timbalan Presiden. - Foto hiasan NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

Berita Harian X