Sabtu, 21 Mei 2022 | 5:59pm
Dr Adham (berdiri tengah) beramah mesra dengan tetamu Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor di Kulai, malam tadi. - Foto FB
Dr Adham (berdiri tengah) beramah mesra dengan tetamu Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor di Kulai, malam tadi. - Foto FB

UMNO Johor sasar menang 20 kerusi Parlimen

KULAI: UMNO Johor meletakkan sasaran menang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sasaran itu diletakkan selepas melihat kejayaan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka yang lalu.

"Jika kita lihat senario sekarang, ia tentu sekali menjurus kepada lebih banyak kerusi Parlimen untuk kita menangi.

"Kita kira (dalam PRN Johor), sebanyak 40 daripada 56 kerusi kita menang dan kita dapat dua pertiga. Jadi kita cuba sasar sebaik-baiknya 20 daripada 26 kerusi Parlimen, itu dari sudut penerangan (UMNO) negeri dan kita tengok berdasarkan kemampuan kita," katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor, di sini malam tadi, ketika ditanya mengenai sasaran parti pada PRU-15.

Ahli Parlimen Tenggara itu menjelaskan, jentera penerangan UMNO negeri ketika ini berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berdepan PRU-15 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.

Mengenai corak kempen pada PRU-15, Dr Adham berkata, pihaknya melihat dua aspek dalam proses berkenaan.

"Bagi penerangan (UMNO), kita melihat ke arah dua perkara, iaitu bagaimana prosedur operasi standard (SOP) masa depan dikendalikan, sama ada menggunakan SOP seperti PRN atau baharu, tetapi pembukaan sektor ekonomi 1 April lalu menunjukkan bahawa ada lebih kebebasan untuk berkempen.

"Namun, kita tetap akan gabung pendekatan, sama ada hibrid dan juga fizikal. Untuk pengundi baharu, kita juga akan menggunakan media sosial (seperti sebelum ini)," katanya.

Pada PRU-14, daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Johor, BN hanya memenangi lapan dengan UMNO menang tujuh kerusi, iaitu Parit Sulong, Sembrong, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pontian dan Pengerang, manakala MCA menang satu kerusi, iaitu Ayer Hitam.

Bagaimanapun, pada Disember 2018, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latif Ahmad mengumumkan keluar parti dan dua bulan selepas itu menyertai BERSATU, menjadikan kerusi Parlimen Johor yang dipegang BN susut kepada tujuh.

Jumlah itu kembali menjadi lapan kerusi apabila Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA menang kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 November 2019. - BERNAMA

Berita Harian X