Sabtu, 23 April 2022 | 11:24am
Foto hiasan. - BERNAMA/ARKIB
Foto hiasan. - BERNAMA/ARKIB

Apa status RUU pendanaan politik?

KUALA LUMPUR: Kumpulan sembilan ahli Parlimen bersama seorang ahli Dewan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta kerajaan menyatakan status terkini Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) itu meminta penjelasan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mereka menegaskan, penjelasan berkenaan penting untuk kumpulan berkenaan mengetahui dan memahami perkara yang dibincangkan sebelum ini supaya dapat memberikan cadangan baharu.

"Kami secara khusus menanti untuk bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) ke arah Undang-undang Pendanaan Politik yang dipersetujui bersama supaya dapat menambah baik kebertanggungjawaban parti politik di negara ini.

"Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa pembentangan Akta Pendanaan Politik kekal menjadi keutamaan kami berdasarkan kepada semakan semula separuh penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menyatakan Disember 2022 sebagai penanda untuk menjalankan satu kajian mengenai penggubalan undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik," kata KRPPM.

KRPPM ditubuhkan pada 20 April lalu selepas diluluskan oleh Setiausaha Dewan Rakyat dan dianggotai sembilan Ahli Parlimen dari sembilan parti berbeza serta seorang Ahli Dewan Negara.

Kumpulan itu juga menegaskan, masyarakat berhak untuk mengetahui komitmen kerajaan dalam mempertingkat ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem politik negara dan ia amat penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas KRPPM, pembaharuan dalam pendanaan politik menjadi antara tunjang dalam usaha transformasi politik Malaysia dan ia adalah langkah penting dalam perjuangan memerangi rasuah dan membasmi penyalahgunaan dana awam.

Menurut kumpulan berkenaan, usaha untuk memperkenalkan perundangan mengenai pendanaan politik bermula pada 2008 dengan diterajui Transparency International-Malaysia (TI-M) dan pada 2015, satu lagi usaha dilakukan oleh kumpulan G25 bersama-sama kira-kira 70 NGO.

"Berdasarkan pengetahuan kami, usaha terkini telah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila satu rang undang-undang dirangka, namun tidak dibentangkan," kata KRPPM.

Keanggotaan KRPPM terdiri aripada Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari sebagai Pengerusi; Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Wong Shu Qi (DAP-Kluang), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (BERSATU-Indera Mahkota).

Selain itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun), Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) dan Larry Soon@Larry Sng Wei Shien (Parti Bangsa Malaysia-Julau), manakala senator pula ialah Fadhlina Sidek daripada PKR.

KRPPM juga dianggotai enam organisasi masyarakat sivil (CSOs) serta dua individu pakar, antaranya Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Agora Society, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Engage Network, Bait Al-Amanah, G25 Malaysia, BERSIH, Rasuah Busters dan TI-M.

Turut serta, dua individu selaku pakar iaitu Maha Balakrishnan dan Prof Wong Chin Huat.

Berita Harian X