Sabtu, 12 March 2022 | 9:33am
Pengundi muda, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, pertama kali mengundi bagi DUN Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. - FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengundi muda, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, pertama kali mengundi bagi DUN Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. - FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Pengundi baharu teruja tunai tanggungjawab kali pertama

JOHOR BAHRU: Golongan pengundi muda kelihatan teruja menunaikan tanggungjawab masing-masing buat pertama kali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Berdasarkan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, di sini, pengundi baharu antara golongan paling ramai hadir sejak awal pagi lagi, selain pengundi warga emas.

Pelajar kolej vokasional, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, yang juga pengundi automatik berkata, beliau teruja menunaikan tanggungjawabnya buat pertama kali.

"Ibu bapa antara yang menggalakkan saya mengundi hari ini memandangkan pada peringkat awal saya seperti tidak berminat.

"Namun apabila mula mengikuti beberapa calon PRN Johor di aplikasi TikTok dan membaca komen orang ramai, minat mulai timbul untuk mengikuti rapat calon yang ingin diundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG Johor mengundi
  • "Walaupun ibu bapa ada memberikan pendapat mereka untuk mengundi calon tertentu, saya akhirnya membuat keputusan sendiri berdasarkan input diperoleh di media sosial termasuk komen orang ramai," katanya.

    Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas, susulan pendaftaran automatik Undi18.

    Pekerja swasta, Nur Amira Faqihah Jafridin, 23, yang pertama kali mengundi berkata, beliau tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab kepada negeri.

    Katanya, beliau dan rakan juga sering berbincang mengenai PRN, selain mengikuti perkembangan politik semasa di media sosial terutama Facebook, Twitter dan TikTok.

    "Pendapat menyatakan pengundi baharu tidak berminat mengundi rasanya tidak benar. Saya dan rakan sebaya sering berbincang mengenai politik sejak PRN Johor diumumkan, selain kami juga meneliti calon yang ingin diundi.

    "Namun memang diakui pengundi baharu seperti saya lebih gemar menyatakan pandangan selain mendapatkan perkembangan terkini calon menerusi media sosial kerana ia lebih mudah," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.

    Berita Harian X