Khamis, 24 Februari 2022 | 2:15pm

PRN Johor: PBM umum tanding empat kerusi

JOHOR BAHRU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan empat calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, termasuk Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Talha berkata, selain Steven Choong di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, tiga lagi adalah Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (DUN Maharani); Mohd Azmi Ali (DUN Tiram) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (DUN Stulang).

Beliau berkata, semua calon akan membawa aspirasi berasaskan enam tunjang utama termasuk mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan pembabitan golongan muda, memperkasa peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi, serta meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

Katanya, calon diketengahkan pernah menabur bakti tanpa mengambil kira bangsa di kawasan ditandingi dan dikenali masyarakat setempat.

"Keputusan PBM bertanding di empat kerusi DUN berbanding hanya dua cadangan asal, sangat realistik. Sebelum membuat keputusan masuk ke gelanggang, kita buat tinjauan.

"Pengundi sudah jemu dan muak dengan parti lama dan mereka sudah tahu tindak tanduk parti lama.

"Walaupun tiga daripada empat calon muka baru, mereka sebagai aktivis membantu masyarakat ketika pandemik COVID-19 bermula 2020 hinggalah sekarang.

"Kita berharap pengundi Johor lebih bijak menilai antara permata dan kaca," katanya pada sidang media pengumuman calon PBM bagi PRN Johor hari ini.

Haniza mewakili Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien yang terpaksa menjalani kuarantin kendiri akibat kontak rapat COVID-19, turut menyerahkan watikah pelantikan pencalonan kepada semua calon.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
Berita Harian X