Ahad, 20 Februari 2022 | 2:45pm
Bendera parti dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL
Bendera parti dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL

Petugas parti belum naikkan poster

MUAR: Perang bendera dan poster parti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum hangat.

Tinjauan di sini mendapati, jentera pilihan raya parti yang bertanding masih pada peringkat menyiapkan bahan kempen.

Bendera hanya dinaikkan di beberapa tempat persendirian seperti kebun dan kediaman di Kampung Lenga, Gombang, Bukit Kepong dan Kampung Tui, di sini.

Calon yang bertanding juga kini menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok untuk mendekati pengundi.

Petugas pilihan raya parti juga mengakui masih menunggu arahan lanjut daripada parti untuk menggerakkan jentera kempen dengan lebih agresif.

Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah bersyarat dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam, manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Menurut SOP itu, sebarang bentuk hiburan semasa berkempen tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan edaran risalah perlu dibuat di luar pagar.

SPR menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal pada 8 Mac, manakala penamaan calon Sabtu ini.

Berita Harian X