X
Rabu, 16 Februari 2022 | 12:03pm

Suhaimi dilantik Ketua Koordinator WARISAN Johor

JOHOR BAHRU: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh, dilantik sebagai Ketua Koordinator Parti Warisan Sabah (WARISAN) Johor, sekali gus mengemudi parti berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata Suhaimi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup akan menyelaras gerak kerja PRN Johor nanti.

"Dua Koordinator WARISAN Johor iaitu bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri S Sunther, yang juga anak bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dan bekas Naib Ketua Wanita Gerakan serta bekas Ketua Wanita Gerakan Johor, Wong Siew Poh, akan membantu Suhaimi pada PRN Johor.

"Bagi membantu memperkukuhkan gerak kerja WARISAN Johor, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga bekas Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, menyatakan hasrat untuk membantu kita

"Mazlan sudah berbincang dengan saya dan nyatakan keinginannya untuk bantu WARISAN," katanya pada sidang media selepas melancarkan WARISAN Johor malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong dan Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata selain memberi pilihan kepada pengundi, keputusan WARISAN bertanding di PRN Johor juga sebagai langkah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang berkemungkinan berlaku tahun ini.

"PRN Johor adalah persediaan kita bertempur pada PRU-15 nanti, bagi memastikan kita mempunyai cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan," katanya.

Ditanya jumlah kerusi akan ditandingi WARISAN di Johor, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan diumumkan apabila tiba waktu yang sesuai.

Mengulas latar belakang WARISAN sebagai parti dari Sabah yang memperjuangkan Sabah untuk rakyat Sabah, Mohd Shafie berkata, dalam negara demokrasi, parti politik bebas bertanding di mana-mana sahaja di negara ini.

Beliau berkata, WARISAN memperjuangkan perpaduan semua rakyat bagi membentuk sebuah negara bangsa yang kukuh serta stabil, yang tidak hanya nampak harmoni apabila menjelang pilihan raya tiba bagi meraih undi semata-mata.

"PBS bertanding di Pulau Pinang. UPKO pula bertanding di Perak. Presiden PBS (Parti Bersatu Sabah), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, manakala Presiden UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), Tan Sri Bernard Dompok. Mereka berdua yang tidak dikenali di Semenanjung pun bertanding.

"Saya pemimpin nasional yang pernah berkhidmat dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mengapa WARISAN tak boleh pula bertanding pada PRN Johor atau PRU-15 nanti," katanya.

Ketua Koordinator WARISAN Johor, Suhaimi Salleh. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketua Koordinator WARISAN Johor, Suhaimi Salleh. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X