Sabtu, 12 Februari 2022 | 6:29pm
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup (kanan) bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (kiri) pada Persidangan Perwakilan Tri-Annual PBRS Ketiga di Kota Kinabalu, hari ini. - BERNAMA
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup (kanan) bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (kiri) pada Persidangan Perwakilan Tri-Annual PBRS Ketiga di Kota Kinabalu, hari ini. - BERNAMA

PBRS jangka peluang besar tanding kerusi pedalaman pada PRU-15

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjangkakan mempunyai peluang lebih besar bertanding di beberapa kerusi Parlimen khususnya di kawasan pedalaman negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Kurup, berkata pihaknya sedang melaksanakan rundingan dengan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung agihan kerusi.

"Kita menjangkakan PBRS ada peluang yang besar untuk bertanding beberapa kerusi, khususnya di kawasan pendalaman. Kita sedang berunding dengan parti komponen lain khususnya dengan kepemimpinan tertinggi BN untuk mencapai kesepakatan apabila sampai masanya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Tri Annual PBRS ke-3 di Dewan Hakka, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Arthur berkata, pihaknya telah bersiap-siaga menghadapi PRU-15 berikutan pilihan raya terbabit dijangka diadakan bila-bila masa sahaja.

"Buat masa sekarang kita sedang menumpukan perhatian untuk membantu BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, tetapi pada masa sama, kita telah mendapat bayangan bahawa kemungkinan PRU-15 boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

"Macam mana keadaan pun, PBRS akan sentiasa bersiap siaga dalam menyediakan jentera parti untuk menghadapi PRU-15 dan menumpukan perhatian terutama di kawasan pendalaman," katanya.

Berita Harian X