Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:03pm
Permintaan untuk menangguhkan PRN Johor dilihat
Permintaan untuk menangguhkan PRN Johor dilihat

Gesaan tangguh PRN Johor bersifat provokasi

KUALA LUMPUR: Gesaan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19 akibat varian Omicron dianggap berbaur provokasi dan sengaja mencetuskan kegelisahan masyarakat.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata permintaan itu juga tidak wajar kerana prosedur operasi standard (SOP) telah ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan selamat.

Beliau berkata, dengan kewujudan varian Omicron, SOP PRN Johor dijangka lebih ketat berbanding PRN Melaka dan Sarawak, tahun lalu.

"Permintaan ini seolah-olah berbentuk provokasi dan sengaja menimbulkan kegelisahan.

"Sedangkan PH telah bersedia menghadapi PRN ini dengan menyusun calon mereka. Malah PH bekerjasama dengan Ikatan Demokrartik Malaysia (MUDA) kali ini," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH menyatakan mereka memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 pada Rabu.

Kata majlis itu, demi memastikan keadaan berkenaan tidak diperalatkan untuk tujuan politik, maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.

"Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Mohd Izani, berkata PH dari awal lagi sangsi dengan prestasi mereka pada PRN Johor dan mereka mungkin membuat gesaan penangguhan itu untuk mengalihkan isu.

"Mungkin juga PH beranggapan SOP yang ketat dan kempen yang terbatas tidak menguntungkan mereka. Jadi mereka boleh salahkan SOP (apabila presatsi merudum)," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan penangguhan PRN Johor berdasarkan angka jangkitan semasa.

Katannya, melainkan jika keadaan menjadi terlalu kritikal, maka darurat boleh diisytiharkan bagi membolehkan ia ditangguhkan.

"DUN Johor sudah dibubar maka saya rasa kena terima hakikat PRN perlu diteruskan. Jika diteruskan, SOP perlu dipatuhi, bukannya dengan mengadakan ceramah besar-besaran tetapi mengatur program lawatan kecil-kecilan seperti ke pasar dan kedai.

"Melainkan keadaan menjadi terlalu kritikal sehinga darurat perlu diumumkan," katanya.

Berita Harian X