Isnin, 7 Februari 2022 | 8:24am
 Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin

UMNO Sabah akui pendaftaran GRS bawa kebaikan

KOTA KINABALU: UMNO Sabah akhirnya mengakui pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi membawa kebaikan kepada negeri ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut mengakui pendaftaran GRS mampu membawa kestabilan politik di Sabah.

"Memang ada kebaikan untuk penjenamaan GRS dengan mendaftarkannya sebagai sebuah parti (gabungan) untuk kestabilan politik di negeri ini.

"Kestabilan politik amat penting bagi kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan terutama untuk meningkatkan ekonomi negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas maklum balas Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor yang menyatakan tidak ragu-ragu melaksanakan cadangan itu jika ia dipersetujui semua parti komponen GRS.

Ketika menutup program Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, di Kudat kelmarin, Hajiji berkata beliau percaya pendaftaran GRS sebagai pakatan rasmi akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan dalam kalangan parti komponennya.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, bagaimanapun berkata cadangan itu perlu diperincikan dalam mesyuarat khas GRS sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita menerima baik cadangan ini, bagaimanapun ia perlu diperincikan dalam satu mesyuarat sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS," katanya.

Pada masa ini, GRS adalah satu gabungan longgar yang dibentuk bagi menghadapi PRN Sabah pada September 2020 menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selain BERSATU, PN Sabah dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, manakala BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyokong cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi, namun UMNO Sabah belum memberikan kata putus.

Bung Moktar sebelum ini berkata, pihaknya perlu mendengar perincian mengenai perkara itu sebelum memutuskan sama ada menyokong atau tidak cadangan mendaftarkan GRS.

Cadangan itu timbul berdasarkan pendekatan di Sarawak yang dilihat berjaya mewujudkan kestabilan politik menerusi pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berita Harian X