Sabtu, 5 Februari 2022 | 6:46pm
Bung Moktar berucap pada program Pemukiman Wakil Rakyat Kerajaan GRS di Kota Kinabalu, semalam.
Bung Moktar berucap pada program Pemukiman Wakil Rakyat Kerajaan GRS di Kota Kinabalu, semalam.

GRS mampu bertahan walaupun dianggap rapuh - Bung Moktar

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri sejak lebih setahun lalu, mampu bertahan jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya bekerja sebagai satu pasukan.

Ketua UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ketika mengulas kedudukan semasa kerajaan negeri pimpinan GRS yang tiada ikatan kukuh atau rasmi, berkata walaupun gabungan itu dibentuk sembilan parti dan dianggap rapuh, ia masih mampu bertahan jika ada kesepakatan padu dalam kalangan pemimpin serta wakil rakyatnya.

"Rakyat sudah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan hari ini, justeru kita perlu menghargai kepercayaan itu dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah. Kita lupakan segala perbezaan demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat," katanya ketika merasmikan program Pemukiman Wakil Rakyat Kerajaan GRS di sini, semalam.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyokong agar GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi bagi mengukuhkan kedudukannya, namun setakat ini hanya UMNO Sabah belum memberikan kata putus, selain menganggap kedudukan sedia ada sudah mencukupi.

"Kerajaan yang stabil menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi krisis yang dihadapi. Kebersamaan dan kerjasama ini amat penting untuk menstabilkan negara ketika krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat Malaysia akibat penularan pandemik COVID-19," kata Bung Moktar.

Beliau berkata, pendekatan baharu yang lebih berkesan untuk membawa perubahan perlu dilakukan dalam usaha memenuhi aspirasi rakyat yang semakin matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan serta wakil rakyat, selain tidak tidak lagi terbuai dengan pengumuman jumlah peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan.

"Rakyat kini mahu lihat tindakan segera diambil dalam melaksanakan projek kerana Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam semua aspek termasuk pembangunan insfrastruktur, kesihatan dan pendidikan. Disebabkan itu, saya lantang suarakan isu dan hak rakyat Sabah terutama aspek pembangunan di Dewan Rakyat.

"Ia agar diambil perhatian dan tindakan segera oleh kerajaan Pusat. Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, saya memang lantang membawa isu-isu pembangunan di Sabah, namun saya terkilan setiap isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di Sabah amat jarang ADUN Sabah tampil membuat kenyataan menyokong apa yang saya suarakan.

"Ia seolah-olah memberikan gambaran yang kita tidak bersatu dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini," katanya yang juga ADUN Lamag.

Beliau mahu setiap ADUN GRS turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, bukan saja membawa isu di kawasan masing-masing, malah isu yang lebih relevan dengan kepentingan rakyat dan negeri.

Berita Harian X