Jumaat, 4 Februari 2022 | 9:24pm
Syed Saddiq berbual-bual dengan pengunjung kedai makan di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/ IHSAN MUDA
Syed Saddiq berbual-bual dengan pengunjung kedai makan di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/ IHSAN MUDA

Benarkan mahasiswa undi pos - MUDA

JOHOR BAHRU: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) merayu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbang mempelbagai kelayakan undi pos, bagi memastikan peratusan tinggi keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,

berkata ada pengundi Johor yang sukar pulang seperti yang berada di Sabah dan Sarawak, selain mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kumpulan itu perlu diberikan kelonggaran membuang undi secara undi pos, supaya hak mengundi semua rakyat Johor terjamin.

"Bagi kira-kira 200,000 rakyat negeri ini yang bekerja di Singapura pula, MUDA harap mudahkan prosedur membuang undi, termasuk di kedutaan Malaysia di negara republik itu.

"Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kempen Jelajah Mendengar sempena PRN Johor, di Jalan Tebrau, di sini, hari ini.

Ahad lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat khas disediakan kepada kira-kira 200,000 pengundi Johor di Singapura, selain mempermudah mereka menunaikan tanggungjawab mengundi dalam PRN Johor.

Hari ini, Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Alif Azri mencadangkan pelaksanaan undi pos bagi mahasiswa perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar IPT di Malaysia mencecah lebih 400,000.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, SPR perlu mempertimbang cadangan yang disuarakan pelbagai pihak dalam memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar dan mencapai maksudnya.

"Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan rakyat di negeri ini boleh menjalankan hak mereka keluar mengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi," katanya.

Berita Harian X