Khamis, 3 Februari 2022 | 11:38am
SPR masih menunggu SOP PRN Johor kerana ada perubahan berbanding PRN Melaka. Foto hiasan BERNAMA
SPR masih menunggu SOP PRN Johor kerana ada perubahan berbanding PRN Melaka. Foto hiasan BERNAMA

SOP PRN Johor ada pembaharuan

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbeza sedikit daripada SOP PRN Melaka dan Sarawak kerana ancaman COVID-19 varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata SOP dua PRN sebelum ini berkesan mengekang jangkitan kerana tiada peningkatan penularan direkodkan.

Bagaimanapun, katanya, PRN Johor yang sepatutnya diadakan sebelum 23 Mac ini ada sedikit perbezaan kerana varian Omicron mempunyai kadar penularan jangkitan lebih tinggi.

"SOP PRN Johor hampir selesai dan ia akan dibentang kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum dimuktamadkan dan dimaklum ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita lihat SOP PRN Melaka berjaya. SOP PRN Sarawak pun berjaya kerana tiada peningkatan kes jangkitan direkodkan, tetapi perkara sama saya tidak boleh janjikan di PRN Johor.

"Sebab peningkatan kes jangkitan sudah hampir pasti berlaku kerana ia datang sekali dengan Omicron. Justeru, SOP PRN Johor akan berbeza sedikit," katanya pada sidang media di Hospital Tunku Azizah di sini, hari ini.

Pengundi akan memilih 56 wakil rakyat di Johor. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pengundi akan memilih 56 wakil rakyat di Johor. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, kelmarin mencadangkan KKM dan Majls Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat memberi sedikit kelonggaran kepada calon parti politik yang akan berkempen pada PRN Johor.

Kelonggaran itu sekurang-kurangnya meliputi kebenaran melakukan 'walkabout' (turun padang) supaya calon dapat berjumpa dengan pengundi, khususnya dalam kalangan kira-kira 750,000 orang muda berusia 18 tahun yang bakal menjalankan tanggungjawab mereka menjelang PRN Johor.

Berita Harian X