Isnin, 31 Januari 2022 | 8:30pm
Foto fail barisan kepemimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) terdiri Larry Sng (tengah) dan Haniza (tiga dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu parti berkenaan.
Foto fail barisan kepemimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) terdiri Larry Sng (tengah) dan Haniza (tiga dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu parti berkenaan.

Parti Bangsa Malaysia timbang bertanding PRN Johor

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang belum sampai dua bulan didaftarkan, mungkin membuat penampilan sulung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha.

Katanya, kemungkinan itu sangat tinggi berdasarkan perkembangan politik terkini, statistik dan maklum balas dari lapangan.

Namun, beliau menegaskan, perkara itu masih dalam perbincangan bersama kepemimpinan tertinggi parti dan pihak tertentu yang berada di luar parti.

"PBM hanya akan meletakkan calon di kawasan pemimpin sudah berkhidmat kepada rakyat di sana dan dikenali pengundi. Calon-calon ini akan mempunyai peluang yang baik untuk menang. PBM sebuah parti berbilang kaum yang kuat dan ini faktor penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

"Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan dilihat sebagai satu Bangsa Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal, iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Parti berkenaan diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan di Johor, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen, iaitu Tebrau yang diwakili Steven Choong yang juga Naib Presiden parti itu.

Sementara itu, Haniza yang dilucutkan keahliannya dalam PKR pada Jun 2020, berkata PBM juga mendesak supaya lebih banyak perwakilan wanita dan belia dilibatkan sebagai calon pilihan raya.

Katanya, bakat yang belum diterokai itu pastinya akan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan negara yang lebih baik.

"Saya (sebelum ini) dari parti berbilang kaum, tetapi lama-kelamaan, ia melencong dari haluan asal dan daripada perjuangannya untuk membawa pembaharuan.

"Saya memutuskan untuk menyertai PBM kerana ia parti hari ini dan akan datang. PBM menjadi pilihan saya juga kerana tumpuannya kepada pemerkasaan wanita dan belia, ekonomi, pendidikan, kemajuan dalam sains dan teknologi," katanya yang menegaskan tiada parti lain yang merangkumkan semua agenda berkenaan.

Mengulas perancangannya sebagai Timbalan Presiden, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya di Selangor, berkata beliau ingin membantu mengukuhkan PBM dan menjadikannya pilihan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Untuk tujuan itu, katanya, PBM mengatur beberapa program termasuk siri jelajah ke 14 negeri, mesyuarat pemimpin dan ahli baharu serta mempromosi PBM melalui program dan pembabitan dengan rakyat.

"Mengenai persiapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kami dalam proses mengenal pasti calon, kerusi dan penubuhan jentera pilihan raya," katanya.

Berita Harian X