Sabtu, 15 Januari 2022 | 2:06pm
UMNO menafikan ada PRN Johor tidak lama lagi. - Foto EPA
UMNO menafikan ada PRN Johor tidak lama lagi. - Foto EPA

UMNO nafi ada PRN Johor

JOHOR BAHRU: UMNO menafikan berbincang mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh terdekat.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali, berkata pada tiada perbincangan peringkat parti.

Katanya, tumpuan kini ialah berkhidmat kepada rakyat daripada segi bencana banjir mahupun mengekang penularan COVID-19.

"Kita sendiri belum membuat sebarang perbincangan. Itu hanyalah spekulasi. Sesiapa sahaja ada hak untuk membuat spekulasi.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti biasa akan bekerja terus membantu rakyat sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14. Tumpuan kini kepada mengekang penularan COVID-19 dan banjir.

"Saya lihat semua orang mahu bercakap mengenai PRN. Bukan sahaja UMNO, malah semua parti sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis tertutup Seminar Pemantapan Jentera PRU Ke-15 Parlimen Kulai di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Terdahulu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan partinya bersiap sedia bagi menghadapi PRN Johor, sekiranya DUN dibubarkan dalam waktu terdekat.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi menubuhkan kerajaan yang lebih stabil, berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Kerajaan negeri Johor yang kini dipimpin BN, mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Osman Sapian, meninggal dunia 21 Disember tahun lalu.

BN kini mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN.

Berita Harian X