Isnin, 10 Januari 2022 | 11:21am
Larry Sng (tengah) dan Haniza (tiga dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu Parti Bangsa Malaysia.
Larry Sng (tengah) dan Haniza (tiga dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu Parti Bangsa Malaysia.

BERSATU tidak terkesan ahli serta parti lain - Wan Saiful

KUALA LUMPUR: BERSATU tidak terkesan dengan tindakan beberapa ahlinya menyertai pergerakan politik lain.

Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata parti berkenaan sebaliknya akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti rasuah dan menentang salah guna kuasa demi manfaat keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.

"BERSATU juga semakin berkembang dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan. Perlembagaan BERSATU jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur.

"Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Media kelmarin melaporkan, beberapa pemimpin BERSATU, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tindakan lompat parti itu menarik perhatian ramai susulan persidangan khas PBM yang mengadakan pemilihan penyandang jawatan baharu.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dilantik sebagai presiden baharu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti berkenaan yang turut menyaksikan pelantikan 30 ahli jawatankuasa, termasuk bekas EXCO Kerajaan Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai timbalan presiden.

Sebelum ini, PBM dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diasaskan oleh bapa Larry, Datuk Sng Chee Hua, bersama sekumpulan ahli politik pada 2012.

Laporan media sebelum ini memetik Larry sebagai berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, seorang lagi ADUN dari Selangor yang menyertai PBM adalah ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, kedua-duanya ahli BERSATU.

Berita Harian X