Isnin, 10 Januari 2022 | 8:31am
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup pada sidang media semalam. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup pada sidang media semalam. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

'Parti baharu Peter tidak akan pergi jauh'

PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup yakin parti baharu ditubuhkan bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony tidak mampu pergi jauh.

Joseph berkata, parti baharu berasaskan pelbagai kaum itu tidak akan memecahkan belahkan perpaduan khususnya dalam kalangan kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah.

"Saya rasa parti itu tidak akan pergi jauh. Kita perlu lihat (bagaimana situasinya pada masa akan datang).

"Tetapi saya tidak bimbang kerana kemungkinan ia (parti baharu) akan memecahbelahkan WARISAN berbanding PBRS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penyerahan borang keahlian menyertai PBRS di Wisma Kinsabina, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup dan bekas Naib Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Wilfred Bumburing.

Ditanya kemungkinan PBRS bergabung dengan parti lain untuk kesatuan politik, Joseph berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu tetapi akan tetap konsisten dengan perjuangan mereka.

"Tidak kira apa pun, kami tidak akan mengatakan sesuatu perkara hari ini tetapi keesokannya menjadi berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Joseph turut menyatakan PBRS tekad untuk meneruskan agenda pembangunan ekonomi untuk rakyat Sabah khususnya segi infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Berita Harian X