Ahad, 9 Januari 2022 | 4:53pm
(Gambar fail) Presiden PBM, Larry Sng.
(Gambar fail) Presiden PBM, Larry Sng.

PBM belum muktamadkan keputusan sertai BN

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng, berkata parti itu masih belum memuktamadkan keputusan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau mengakui PBM memang berminat untuk menyertai BN.

"PBM sudah memutuskan untuk menyertai BN, namun ia belum muktamad," katanya kepada BH.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau, dilantik sebagai Presiden baharu pada Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) PBM, semalam.

Selain Larry, 30 ahli jawatankuasa kepemimpinan baharu parti itu turut dilantik, termasuk bekas EXCO Kerajaan Selangor, Haniza Mohamed Talha, dan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.

Sebelum ini, PBM dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diasaskan oleh bapa Larry, Datuk Sng Chee Hua, bersama sekumpulan ahli politik pada 2012.

PBM kini ada dua wakil di Dewan Rakyat, iaitu Larry yang memenangi Parlimen Julau sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum 2018, dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Laporan media sebelum ini memetik Larry sebagai berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ditanya mengenai dakwaan penyertaan dua pemimpin BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Datuk Zuraida Kamaruddin dalam PBM pula, Larry menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi media saja.

"Tiada hitam putih," katanya.

Sementara itu, Haniza berkata, PBM kini mempunyai kira-kira 100,000 ahli berdaftar di seluruh negara.

Katanya, enam teras utama ditetapkan parti itu, termasuk penyertaan semua kaum, memperkasakan peranan wanita, membetulkan semula ekonomi, sains dan teknologi serta pendidikan.

Mengenai desas-desus berkait Mohamed Azmin dan Zuraida pula, katanya, PBM tidak pernah menyebut mengenai penyertaan dua pemimpin itu.

"Perkara itu hanya digembar-gemburkan oleh media. Memang kita tidak pernah menyebut mana-mana nama pemimpin untuk menyertai parti ini. Namun jika mereka berminat, kita akan mempertimbangkan," katanya.

Berita Harian X