KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak akan hanya memberi tumpuan untuk bertanding di Sarawak meskipun parti itu lahir hasil penjenamaan semula Parti Pekerja Sarawak (SWP).
Timbalan Presidennya, Larry Sng Wei Shien, berkata mereka akan memberi lebih fokus kepada beberapa negeri di Semenanjung sesuai dengan matlamat menjadikan ia sebagai parti politik utama di negara ini.
Tanpa menyatakan negeri mana yang menjadi tumpuan utama, Ahli Parlimen Julau itu berkata, ia menyeluruh manakala di Sarawak mereka akan memberi tumpuan di kawasan yang diyakini mampu meraih sokongan.
"Kami sebenarnya lebih fokus di negeri lain, bukan hanya di Sarawak sahaja.
"Tetapi kami akan mempertahankan apa yang sudah ada di Sarawak," katanya kepada BH, hari ini.
PBM diketuai Presidennya, Mohamad Sukri Yusri dan dianggotai beberapa ahli politik yang menghidupkan semula SWP.
SWP adalah parti tempatan Sarawak yang ditubuhkan oleh bapa Larry iaitu Datuk Sng Chee Hua pada 2012.
Selepas didaftarkan pada 27 Oktober tahun lalu, PBM kini memiliki dua wakil di Dewan Rakyat.
Selain Larry yang memenangi Parlimen Julau sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum 2018, PBM diwakili Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
Menurutnya meskipun baru ditubuhkan, PBM yang terbuka kepada semua kaum berpandangan jauh dan yakin mampu muncul sebagai parti politik utama di negara ini pada masa depan.