Rabu, 5 Januari 2022 | 1:17pm

Keputusan ADUN Melalap, Limbahau bentuk parti baharu baik untuk GRS

KOTA MARUDU: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi menubuhkan parti baharu mesra kerajaan negeri disambut baik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor menyifatkan keputusan Anthony satu perkembangan baik untuk kerajaan negeri.

"Bagi saya, sebagai ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana ia akan menguatkan lagi kerajaan negeri dan kita amat berterima kasih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan bantuan kepada mangsa banjir Kota Marudu Pentas Utama Padang Kota Marudu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Dalam pada itu, Hajiji ketika ditanya mengenai komen beliau terhadap keputusan Anthony, beliau berkata, ia hak mana-mana ADUN (membuat keputusan keluar parti) selaras amalan demokrasi di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau secara peribadi belum menghubungi Anthony, setakat ini.

Terdahulu, pada majlis itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menyampaikan wang ihsan RM1,000 dan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) daerah ini.

Berita Harian X