Khamis, 30 Disember 2021 | 7:49pm
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin

PAS mahu terus perkasa MN, PN

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan parti itu akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama, mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata keputusan Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada Rabu lalu itu selari dengan usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

"Muzakarah Majlis Syura Ulamak bertajuk `Hala Tuju Ta'awun Siyaasi dan Misi Pilihanraya PAS PRU ke-15' bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

"Perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu dilaksanakan secara maksimum bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

"Ini selaras dengan panduan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Anfal, ayat 46: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hashim berkata, semangat taawun siyaasi (kerjasama politik) dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

"Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian," katanya.

Berita Harian X