Rabu, 27 Oktober 2021 | 6:37pm
Datuk Norhizam Hassan Baktee. - Foto NSTP
Datuk Norhizam Hassan Baktee. - Foto NSTP

'Kami buat hal masing-masing, jarang berhubung' - Norhizam

MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, berkata beliau bersama tiga lagi bekas ADUN jarang berhubung selepas mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan Melaka, awal bulan ini.

Katanya, beliau sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha kebajikan penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

"Kami jarang berhubung dan buat hal masing-masing. Buat masa ini saya masih sibuk dengan pelbagai kegiatan kebajikan kepada penduduk Pengkalan Batu, termasuk menghulurkan bantuan serta menyelesaikan masalah rakyat.

"Saya tetap melakukan aktiviti kebajikan walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat. Masalah air yang dihadapi penduduk juga saya selesaikan.

"Saya sudah biasa buat kerja untuk rakyat, khususnya dalam kawasan Pengkalan Batu. Soal politik saya tak fikir sangat, yang penting kebajikan rakyat sentiasa dijaga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut mengesahkan akan membuat satu pengumuman khas berkaitan masa depan politiknya, termasuk kedudukannya dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), minggu depan.

Katanya, setakat ini beliau masih mempertimbangkan beberapa cadangan daripada beberapa pihak, termasuk rakan politiknya.

"Banyak media menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan, saya katakan belum tiba masanya lagi. Tunggu minggu depan, sebelum penamaan calon saya akan buat pengumuman," katanya.

Minggu lalu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) diadakan bagi membincangkan mengenai PRN Melaka, termasuk hasrat empat ADUN terbabit yang dikatakan mahu bertanding atas tiket PH.

Hasrat mereka sebelum ini bagaimanapun ditolak DAP yang tidak mahu menerima Norhizam berikutan bertindak menyokong gabungan politik baharu di Melaka sehingga menyebabkan PH tumbang di negeri itu.

Berita Harian X