Rabu, 7 April 2021 | 2:59pm

Jajaran baharu politik menjelang PRU-15

KULAI: PKR Johor membayangkan satu jajaran politik baharu akan ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata ia berikutan muncul beberapa isyarat sejak kebelakangan ini sejajar perkembangan terbaharu landskap politik negara. Perkembangan ini adalah susulan insiden politik membabitkan kerajaan negeri Perak akhir tahun lalu.

"Secara amnya, akan ada jajaran atau gabungan politik baharu menjelang PRU-15 nanti. Jika dulu, Barisan Nasional (BN) lawan Pakatan Harapan (PH), tapi PRU-15 kali ini nampaknya akan berubah.

"PKR Johor tidak boleh kata kita tolak mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan PH Johor pada masa akan datang berikutan politik di Malaysia adalah penuh dinamik.

"Selagi asas perjuangan adalah sama, kita boleh lihat cara bagaimana hendak kerjasama dalam satu jajaran dan gabungan. Namun jajaran atau gabungan baharu itu nanti akan nampak lebih jelas menjelang PRU-15 atau pun selepas sahaja pilihan raya selesai nanti," katanya ketika meninjau jalan raya rosak di Taman Tropika, hari ini.

Namun, katanya, buat masa ini PH masih dianggotai tiga parti iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). PKR Johor akan akur dengan apa juga ketetapan kepimpinan Pusat.

PKR Johor juga masih belum menerima arahan khas daripada kepimpinan Pusat membabitkan jajaran atau gabungan baharu ini. Buat masa ini, fokus PKR dan PH Johor adalah bagi mengukuhkan jentera PRU-15.

Berita Harian X