Sabtu, 21 November 2020 | 8:49pm
BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - Foto ARKIB NSTP
BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - Foto ARKIB NSTP

Darurat demi kemudaratan, keselamatan rakyat atasi keperluan adakan pilihan raya

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat yang mengambil kira kepentingan awam berkaitan keselamatan dan kemudaratan rakyat, perlu diutamakan kerana ia mengatasi keperluan mengadakan pilihan raya.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, menegaskan pengisytiharan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi bukan menafikan keperluan mengadakan pilihan raya.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi berkenaan tetap perlu diadakan kerana ia hanya ditangguhkan kerana darurat.

"Pengisytiharan darurat itu hanya terpakai di kawasan Parlimen Batu Sapi dan ia bukan menidakkan keperluan mengadakan PRK, hanya menangguhkan," katanya ketika dihubungi BH.

Wan Ahmad mengulas Proklamasi Darurat bagi Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus PRK itu tidak boleh diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu selepas baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November, pengundian pada 5 Disember dan pengundian awal pada 1 Disember.

Kerusi Parlimen berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.

Mengenai kemungkinan PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan Parlimen Gerik turut ditangguhkan melalui pengisytiharan darurat seperti Parlimen Batu Sapi, beliau berkata, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas diisytiharkan ada kekosongan.

Namun, katanya, PRK boleh ditangguhkan jika diisytiharkan darurat bagi kedua-dua kerusi berkenaan seperti yang dilakukan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

"Berdasarkan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, kekosongan di luar jangka di Dewan Rakyat hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari selepas speaker memaklumkan kepada SPR.

"Begitu juga di DUN, berdasarkan enakmen negeri masing-masing," katanya.

Beliau menegaskan, perkara itu adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati atas nasihat Perdana Menteri dan jabatan berkaitan bahawa wujud ancaman besar sekiranya PRK diteruskan.

Berita Harian X