Sabtu, 17 Oktober 2020 | 10:58am
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) mengesyorkan tiga pembaharuan bagi mengelak krisis politik daripada terus berulang.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) mengesyorkan tiga pembaharuan bagi mengelak krisis politik daripada terus berulang.

MUDA syor pembaharuan elak krisis politik

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesyorkan tiga pembaharuan bagi mengelak krisis politik daripada terus berulang.

MUDA dalam kenyataannya hari ini, berkata pembaharuan itu membabitkan sistem 'recall election' bagi mengelak budaya lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

'Recall election' ialah sistem memberi kuasa kepada penduduk setempat untuk memohon pilihan raya kecil diadakan, jika wakil rakyat mereka beralih ke parti lain dengan ia diguna pakai di United Kingdom (UK), Jerman, New Zealand dan Taiwan.

"Sejumlah peratusan pengundi di kawasan berkenaan harus bersetuju terhadap permohonan terbabit, sebelum 'recall election' boleh dilakukan.

"Wakil rakyat yang berpaling dibenarkan bertanding semula tetapi calon atau parti politik lain boleh turut serta untuk memberi peluang kepada pengundi untuk memilih semula siapa wakil rakyat mereka. Sistem ini tegas merintangi seorang wakil rakyat daripada berpaling," katanya.

Dalam pada itu, MUDA turut mencadangkan penggubalan undang-undang menghalang wakil rakyat memegang jawatan dalam lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilakukan.

Secara prinsip, katanya, seseorang Ahli Parlimen tidak boleh terikat dengan badan Eksekutif kerana mereka tidak mampu menuntut ketelusan, selain menegakkan mandat daripada pengundi.

"Ini akan mencegah siapa sahaja Perdana Menteri atau ketua daripada membeli kesetiaan ahli terpilih menggunakan tawaran jawatan GLC.

"Pengecualian khusus dan terbatas dapat diatur untuk GLIC seperti Khazanah Nasional dengan undang-undang sama sudah pun digubal di India," katanya.

Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, kerajaan perlu membentuk Jabatan Pendakwaan bebas berikutan Peguam Negara ketika ini adalah penasihat perundangan kerajaan merangkap pendakwa raya.

Katanya, ia boleh membawa kepada konflik kepentingan dan tanggapan terdapat pengaruh daripada pentadbiran Eksekutif terhadap keputusan pendakwaan.

"Fungsi pendakwa raya lebih berhemah jika dipecahkan kepada pejabat Pendakwa raya bebas, yang seharusnya dilantik Dewan Rakyat dan memegang tempoh perjawatan ditetapkan melalui pindaan Perlembagaan.

"Ini akan melarang Perdana Menteri daripada campur tangan dalam kes jenayah membabitkan ahli politik dengan ia sudah pun dilaksanakan di UK, Australia dan Hong Kong," katanya.

Berita Harian X