Jumaat, 7 Ogos 2020 | 6:29pm
Istana Negeri Sabah. - Foto BERNAMA
Istana Negeri Sabah. - Foto BERNAMA

WARISAN kesal kuasa Yang di-Pertua Negeri diperlekeh

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak yang memperlekehkan kuasa Yang-di Pertua Negeri Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bendahari Agung WARISAN, Terrence Siambun, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan dan ADUN yang memihak kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman agar jangan tamak kuasa hingga menghina tindakan Tun Juhar Mahiruddin sebagai Yang di-Pertua Negeri.

"Pepatah lama Sabah mengatakan 'siapa tamaha, dia rugi' (mereka yang tamak pasti akan rugi) sesuai dalam konteks ini untuk Musa dan (Datuk Dr) Jeffrey (G Kitingan) di mana masing-masing mahu menjadi Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri.

"Mereka berbuat demikian sehingga mereka lupa bahawa mereka menjatuhkan kerajaan negeri tepat pada pertengahan penggal dan pada masa sama sedang sibuk menangani pandemik COVID-19, banjir serta memulihkan ekonomi. Ini sama sekali tidak boleh diterima rakyat Sabah.

"Berdasarkan apa berlaku jelas memperlihatkan (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal) sebagai Ketua Menteri bebas daripada segi politik untuk bertindak dan ini dibuktikan ketika beliau meminta pembubaran tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada Tun Dr Mahathir (Mohamad) atau pemimpin tertinggi Pakatan Harapan lain.

"Tindakan Mohd Shafie juga bertentangan dengan pelbagai tuduhan dibuat oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bahawa beliau adalah penyokong ahli politik Malaya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Terrence turut menyifatkan tindakan Jeffrey yang meminta pertolongan daripada pemimpin persekutuan untuk masuk campur hal ehwal kerajaan negeri Sabah adalah memalukan.

"Sebagai orang luar UMNO dan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) BERSATU, beliau meminta simpati dan penerimaan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu berkaitan Sabah.

"Kini, dengan rasa tidak malu beliau mengakui bahawa beliau memerlukan pemimpin Malaya untuk membantu beliau merebut kuasa dan memberitahu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin bertemu dengan Tuan Yang Terutama awal sebelum Musa mengumumkan beliau memiliki majoriti mudah di rumahnya.

"Lebih teruk, Jeffrey cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam kekacauan ini di mana beliau membuat perbandingan bagaimana reaksi kedua-dua baginda dan Tuan Yang Terutama terhadap isu ini," katanya.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Jeffrey menyifatkan kenyataan Istana Negeri menafikan menerima 33 akaun bersumpah (SD), sebelum menandatangani pengisytiharan bubar DUN adalah palsu.

Berita Harian X