Rabu, 8 Julai 2020 | 8:27pm
Syed Saddiq dipelawa menyertai AMANAH. Foto NSTP
Syed Saddiq dipelawa menyertai AMANAH. Foto NSTP

Syed Saddiq dipelawa sertai AMANAH

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mempelawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan anggota kepemimpinan sayap itu untuk menyertai parti berkenaan.

Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata pelawaan itu susulan pemecatan Syed Saddiq daripada BERSATU pada 28 Mei lalu, selain sebahagian pemimpin ARMADA mungkin akan diketepikan.

Katanya, AMANAH bukan parti yang asing bagi Ahli Parlimen Muar itu dan anggota ARMADA, terutama sejak menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

"Sejak menghadapi PRU-14 sehingga hari ini, AMANAH terus bekerjasama dengan kumpulan BERSATU pro Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri), termasuk Syed Saddiq.

"Pastinya AMANAH sangat terbuka menerima penyertaan tokoh dan aktivis anak muda ini ke dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

"Pemuda AMANAH optimis penyertaan ini bakal merancakkan lagi gerakan anak muda dalam arena politik tanah air," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq memaklumkan akan menarik semula saman sivil berhubung kes pemecatan keahliannya daripada BERSATU.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, beliau yang juga antara pengasas BERSATU reda dengan nasib yang menimpanya dalam parti itu.

Syed Saddiq antara lima bekas pimpinan BERSATU yang memfailkan tuntutan membatalkan pemecatannya dari parti itu.

Berita Harian X