Sabtu, 6 Jun 2020 | 9:27pm
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad

Maszlee masih Ketua BERSATU Bahagian Simpang Renggam

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Simpang Renggam menolak watikah pelantikan Pemangku Ketua Bahagian berkenaan kepada Timbalan Ketua Bahagiannya, A'zman Mohd Umar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan BERSATU Bahagian Simpang Renggam hari ini, watikah pelantikan berkenaan dikeluarkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

"Kami berpendapat bahawa watikah itu adalah tidak sah kerana Dr Maszlee Malik adalah Ketua Bahagian yang sah mengikut perlembagaan parti.

"Beliau bukanlah Ketua Bahagian Penaja tetapi menang dalam pemilihan Ketua Bahagian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti sendiri.

"Beliau juga masih lagi ahli yang sah kerana pemecatan beliau atau apa yang dikatakan terhenti keahlian serta merta adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan perlembagaan parti," menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan berkenaan ditandatangani 19 pimpinan BERSATU Simpang Renggam termasuk Naib Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Setiausaha Kerja selain 12 Ahli Jawatankuasa bahagian berkenaan.

Mengulas lanjut, BERSATU Bahagian Simpang Renggam berkata, sehingga hari ini, Maszlee tidak pernah membuat kenyataan keluar parti atau pun menyertai parti lain.

"Maszlee juga tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk dibicarakan.

"Oleh yang demikian, kami Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Simpang Renggam sekali lagi berikrar dan menyatakan taat setia kami kepada Maszlee sebagai Ketua Bahagian yang sah.

"Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang usaha untuk memecahbelahkan kesatuan kami akar umbi BERSATU Bahagian Simpang Renggam

"Kami akan terus bekerja keras bersama Maszlee untuk mengembalikan

maruah parti yang dirobek dan tidak akan sesekali menggadaikan maruah, menagih habuan dari segenap arah," menurut kenyataan berkenaan.

Berita Harian X