Ahad, 31 Mei 2020 | 6:46pm

Keahlian BERSATU terhenti jika bawa kes ke mahkamah

KUALA LUMPUR : Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang merujuk kes berkaitan parti ke mahkamah boleh secara serta-merta terhenti keahliannya.

Perkara ini disebut dengan jelas di bawah fasal 10.2 dan 10.2.6 Perlembagaan BERSATU yang sebelum ini melalui proses pindaan.

Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata semua ahli dan pemimpin harus menyedari perkara itu memandangkan mereka sendiri yang menggubal perlembagaan parti.

"Saya hairan kenapa mereka tak faham Perlembagaan BERSATU, walhal mereka yang menggubal dan meluluskan perlembagaan ini ketika BERSATU ditubuh," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media pagi tadi bahawa lima pemimpin parti itu yang dianggap gugur keahlian selepas duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini sedia merujuk proses undang-undang.

Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan penggunaan fasal berkenaan sebagai tidak tepat, justeru makluman berkenaan pengguguran keahlian mereka dibuat Setiausaha Kerja BERSATU, Muhammad Suhaimi Yahya sebelum ini tidak sah.

Ditanya sama ada lembaga disiplin kekal dengan pendirian dibuat parti mengenai keputusan pengguguran lima pemimpin sebelum ini, Megat Najmuddin berkata, apa yang diputuskan adalah berdasarkan perlembagaan parti.

"Pandangan kita berasaskan apa yang mereka sendiri luluskan di dalam perlembagaan dulu," katanya merujuk surat makluman dikeluarkan Suhaimi berkenaan pengguguran keahlian lima pemimpin BERSATU itu.

Selain bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, empat lagi yang digugurkan keahlian mereka adalah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Syed Saddiq Syed serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Pengguguran keahlian itu dibuat menurut fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU.

Berita Harian X