Jumaat, 15 Mei 2020 | 1:00pm
ADUN PN yang hadir ketika majlis mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman pagi ini. - Foto ihsan pembaca
ADUN PN yang hadir ketika majlis mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman pagi ini. - Foto ihsan pembaca

23 ADUN Perikatan Nasional selesai menghadap Sultan Kedah

ALOR SETAR: Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) selesai mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman hari ini.

Difahamkan, majlis menghadap dilakukan dalam tiga sesi bermula jam 10 pagi dan didahului lapan ADUN termasuk Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Mereka dikatakan menghadap selama kira-kira 30 minit sebelum kumpulan kedua masuk pada jam 10.30 pagi dan kumpulan ketiga pada jam 11 pagi.

Semua ADUN terbabit adalah 15 dari PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Kenderaan yang membawa Sultan Kedah kemudian dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada jam 12.15 tengah hari.

Sementara itu, 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) dijadual menghadap Sultan Kedah pada jam 3 petang ini.

Difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan hadir pada majlis menghadap petang ini.

Majlis menghadap hari ini diadakan berikutan krisis politik negeri yang membabitkan kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Ia susulan PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan daripada 23 ADUN di negeri ini, Selasa lalu.

Berita Harian X