Khamis, 7 Mei 2020 | 11:10pm
Datuk Marzuki Yahya
Datuk Marzuki Yahya

Marzuki dakwa MPT BERSATU tidak keluar PH

KUALA LUMPUR: Pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhubung keputusannya keluar Pakatan Harapan (PH) menimbulkan kekeliruan apabila Datuk Marzuki Yahya mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan itu.

Sambil mendakwa dirinya masih Setiausaha Agung BERSATU, Marzuki berkata mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Februari lalu membuat dua keputusan iaitu menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti serta calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Pada 26 Mac lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan pelantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung BERSATU berkuatkuasa 18 Mac lalu, menggantikan Marzuki yang dipecat daripada jawatan itu.

Marzuki berkata, mesyuarat MPT BERSATU pada 23 Februari lalu pula, tidak membuat keputusan secara rasmi untuk BERSATU keluar PH.

"Walaupun perkara itu dibahaskan tetapi pada akhirnya keputusan sebulat suara memberi sepenuhnya kepercayaan kepada Dr Mahathir selaku Pengerusi untuk membuat keputusan.

"Maka, kenyataan kononnya keputusan MPT adalah untuk BERSATU keluar dari PH adalah tidak tepat dan salah sama sekali," kata Maruzki dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, BERSATU tidak berhasrat untuk menyertai semula PH dan parti tidak pernah berbincang mengenai langkah itu.

Katanya, pendirian BERSATU itu diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu iaitu untuk keluar dan tidak mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan PH.

Mohd Radzi turut memberi peringatan yang keahlian mereka boleh tergugur jika terbabit dengan aktiviti parti lain.

Ia berdasarkan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU yang menyatakan keahlian seseorang ahli parti akan tergugur jika ingkar peraturan parti, termasuk menyertai gabungan parti lain.

Dalam hal ini, keahlian Dr Mahathir sebagai ahli BERSATU mungkin tergugur susulan tindakannya menandatangani perjanjian bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Isnin lalu.

Sementara itu, Marzuki menambah, pemimpin utama parti dan kuasa mutlak untuk memimpin BERSATU adalah Dr Mahathir selaku Pengerusi, selari dengan Perlembagaan parti.

"Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti iaitu tugas Pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti. Pengerusi juga mempunyai kuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuarat MPT," katanya.

Beliau turut menegaskan MPT BERSATU tidak pernah bersetuju untuk mengadakan hubungan dengan UMNO dan PAS selain tidak ada keputusan atau perbincangan secara rasmi untuk mewujudkan Perikatan Nasional (PN) dan menubuhkan kerajaan bersama.

"Malah, MPT BERSATU dalam mesyuarat terakhir pada 23 dan 24 Februari lalu tidak pernah membuat keputusan untuk BERSATU keluar daripada PH atau tidak lagi mempunyai hubungan kerjasama dengan gabungan itu," katanya.

Berita Harian X