X
Isnin, 16 March 2020 | 6:25pm
Tan Sri Syed Hamid Albar. - FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Tan Sri Syed Hamid Albar. - FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD

Pemilihan BERSATU: Persidangan 189 bahagian ditangguh akibat COVID-19

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menangguhkan persidangan serentak 189 bahagian yang dijadualkan pada 18 April ini bagi memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) susulan penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata keputusan itu susulan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang parti atau pertubuhan mengadakan perhimpunan sehingga 30 Jun ini.

“Kita sudah mendapat arahan penangguhan perhimpunan atau persidangan daripada ROS susulan penularan wabak COVID-19. Mungkin penangguhan akan berlanjutan sehingga selepas Jun, namun saya fikir pendaftaran BERSATU tidak akan terbatal.

“Ini arahan ROS, maka mereka tidak boleh ambil tindakan kepada kita jika perlu menangguhkan lagi pemilihan parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Hamid yang berharap pemilihan parti berlangsung dalam suasana yang baik, tenang dan aman, turut memberi amaran kepada calon yang bertanding agar berkempen secara bersih dan tidak mengamalkan politik wang.

“Kalau dirujuk ke Lembaga Disiplin dan ada bukti sahih salah guna kuasa dan beli undi, boleh hilang jawatan dan kedudukan. Mungkin boleh digantung (keahlian) atuu dibuang, saya nasihatkan buatlah cara baik,” katanya.

Beliau juga mengesahkan calon-calon boleh menarik diri sehingga tarikh baharu persidangan bahagian ditetapkan parti.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X