Isnin, 16 March 2020 | 4:18pm
Ketua Bahagian Selayang, Zulkifli Mohamad (kanan) mewakili Dr Mahathir menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan Pengerusi kepada Syed Hamid di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Bahagian Selayang, Zulkifli Mohamad (kanan) mewakili Dr Mahathir menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan Pengerusi kepada Syed Hamid di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya. - NSTP/Aswadi Alias

Muhyiddin dicabar Mukhriz, seorang lagi untuk Presiden BERSATU

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mohd Faiz Azleesham bagi jawatan Presiden BERSATU dalam pemilihan parti itu Jun depan, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan jawatan pengerusi tanpa dicabar.

Mukhriz kini menyandang jawatan Timbalan Presiden, manakala Mohd Faiz adalah Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Cheras.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pertandingan jawatan Timbalan Presiden membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Anas Akashah Nazri.

Katanya, seramai 15 orang menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden dan 168 bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan Jun depan.

Pemilihan peringkat cawangan dan bahagian masing-masing berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April ini, disusuli mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak pemilihan parti pada 20 Jun depan.

“Bagi jawatan pengerusi, JPP hanya menerima satu borang pencalonan daripada Tun Dr Mahathir, sekali gus beliau menang jawatan itu tanpa bertanding.

“Secara keseluruhan, JPP menerima sebanyak 203 borang pencalonan membabitkan 169 bagi jawatan MPT, 115 bagi merebut jawatan dalam ARMADA dan 91 bagi jawatan dalam Srikandi,” kata Syed Hamid pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, antara anggota Kabinet yang turut menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden.

Jawatan Ketua ARMADA menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang, Syed Saddiq Abd Rahman yang dicabar EXCO, Mohd Muzzamil Ismail dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA, Wan Ahmad Phaisal Wan Ahmad Kamil yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, tiga calon mencabar Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun, iaitu Ketua BERSATU Bahagian Kepala Batas, Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak; Timbalan Ketua Penerangan Srikandi, Datin Iza Ismail dan Ketua Srikandi Kuala Langat, Zuhuraina Makmur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menawarkan diri merebut jawatan Naib Ketua Srikandi.

Berita Harian X