X
Isnin, 16 March 2020 | 11:50am
Eddin Syazlee Shith (tengah) menerima sokongan ahli selepas mempertahankan jawatan ketua bahagian BERSATU Kuala Pilah.
Eddin Syazlee Shith (tengah) menerima sokongan ahli selepas mempertahankan jawatan ketua bahagian BERSATU Kuala Pilah.

Pemilihan BERSATU: Eddin Syazlee pertahan Ketua Bahagian Kuala Pilah

SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Eddin Syazlee Shith berjaya mempertahankan jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kuala Pilah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan menewaskan Zamri Md Liza dengan majoriti besar, 371 undi.

“Tahniah juga kepada barisan kepemimpinan baharu. Kami akan terus komited menyumbang bakti kepada masyarakat Kuala Pilah. Insya-Allah,” kata Eddin Syazlee dalam kenyataan ringkas sebaik diumumkan memenangi pemilihan itu, malam tadi.

Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Datuk Mohd Hanafi Mohd Zain, berkata Eddin menyapu bersih undi daripada 19 cawangan BERSATU bahagian itu.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pemilihan walaupun berlarutan ke malam hari.

“Berikutan penularan wabak COVID-19, mesyuarat pemilihan turut terkesan apabila kehadiran ahli tidak mencapai 100 peratus.

“Bagaimanapun, semuanya berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak terutama ahli di cawangan-cawangan yang tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk kepentingan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hanafi berkata, dua lagi bahagian di negeri ini, Rembau dan Jempol akan mengadakan pemilihan masing-masing hujung minggu ini.

“Pemilihan di semua lapan bahagian di Negeri Sembilan akan dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini,” katanya ketika dihubungi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X