Khamis, 12 March 2020 | 4:08pm

Ahmad Faizal: Sultan Nazrin mahu kestabilan politik

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih lagi meneliti calon Menteri Besar Perak yang Ke-13 kerana mementingkan kestabilan politik.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata Sultan Nazrin juga menitahkan ahli politik tidak bercakaran sesama sendiri dan baginda belum memutus pemimpin yang akan dilantik mengetuai kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Faizal bersama-sama Pesuruhjaya PAS Razman Zakaria dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad baru selessai menghadap Sultan Nazrin kira-kira 4 petang tadi.

Ahmad Faizal yang Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak sebelum ini mendakwa gabungan BERSATU, UMNO dan PAS memiliki 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Alhamdulillah. Kami bertiga mewakili parti UMNO, PAS dan juga sudah menghadap Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kami menyembahkan sepucuk warkah (surat) untuk diperkenan Tuanku Sultan untuk pilihan seorang Menteri Besar baru bagi kerajaan Perak.

“Bagi pihak kami bertiga, saya juga ingin menasihati semua rakyat bersabar dan bertenang sambil menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Tuanku Sultan berkenaan Menteri Besar yang Ke-13.

“Setakat ini, Tuanku Sultan belum lagi membuat keputusan berhubung lantikan,” katanya kepada pemberita di luar Istana Kinta, hari ini.

“Saya berharap semua menjaga kesihatan seperti yang dititahkan Tuanku Sultan tadi, agar kami semua ahli politik dan rakyat lebih mementingkan kepada kestabilan politik, tidak bercakaran sesama sendiri dan mementingkan keselamatan dan kesihatan buat seluruh rakyat,” katanya.

Beliau turut sedikit membacakan perincian warkah yang disembah-maklukan kepada Tuanku Sultan.

“Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang terdiri dari tiga komponen parti politik iaitu seramai 25 orang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), tiga orang Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan empat orang BERSATU bersepakat dan bersetuju untuk membentuk satu gabungan baru yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“PN mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri untuk membentuk baru Kerajaan Negeri Perak. PN telah bersetuju untuk melantik seorang ADUN dari setiap parti komponen sebagai calon Menteri Besar untuk perkenan Ke Bawah Duli Tuanku seperti berikut: ADUN KOTA Tampan Datuk Saarani Mohamad (UMNO); ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) ADUN Semanggol, Razman Zakaria (PAS),” katanya.

  • Lagi berita mengenai Kabinet 2020

  • Ahmad Faizal berkata, Sultan Nazrin menitahkan ahli politik tidak bercakaran sesama sendiri dan baginda belum memutus pemimpin yang akan dilantik mengetuai kerajaan pimpinan Perikatan Nasional. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
    Ahmad Faizal berkata, Sultan Nazrin menitahkan ahli politik tidak bercakaran sesama sendiri dan baginda belum memutus pemimpin yang akan dilantik mengetuai kerajaan pimpinan Perikatan Nasional. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
    Berita Harian X