Khamis, 12 March 2020 | 1:28pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Aizuddin Saad
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Aizuddin Saad

Semua jawatan utama BERSATU wajar dipertanding - Akhramsyah

KUALA LUMPUR: Semua jawatan utama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak wajar dihalang dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan bermula dengan sesi pencalonan pada 16 Mac ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, berpendapat adalah sepatutnya semua jawatan tertinggi parti terbuka untuk dicabar pada pemilihan nanti.

“Jika ada cabaran bagi semua jawatan tertinggi parti, perkara itu tidak boleh dihalang kerana ia adalah proses menyuburkan demokrasi dalam pemilihan BERSATU,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Bagaimanapun, Akramsyah berkata, mengambil kira perkembangan politik dalaman parti ketika ini, beliau berpandangan agar jawatan tertentu tidak dipertandingkan.

Beliau mencadangkan jawatan pengerusi yang disandang Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dipertandingkan bagi memastikan parti tidak berpecah.

“Pendapat asal saya adalah sepatutnya semua jawatan tertinggi parti terbuka untuk dicabar pada pemilihan nanti, namun memandangkan senario terkini, ada baiknya jawatan terbabit (pengerusi) tidak dipertandingkan demi perpaduan dalam parti,” katanya.

Katanya lagi, senario jawatan utama parti tidak dipertandingkan akan memberi isyarat serta keyakinan dalam usaha memperkukuhkan parti.

Mengenai kuasa pemecatan ahli, Akhramsyah menjelaskan, perkara itu hanya boleh diputuskan oleh MPT selepas dicadangkan oleh Jawatankuasa Disiplin parti.

Ditanya pembahagian kuasa di antara pengerusi dan presiden pula, beliau menegaskan, perlembagaan parti memperuntukkan pengerusi memiliki kuasa lebih tinggi berbanding presiden.

“Ini kerana jawatan pengerusi adalah entiti yang disahkan oleh perlembagaan parti. Sebarang keputusan berkaitan isu membabitkan ahli pula boleh diputuskan oleh MPT,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, pimpinan parti di peringkat bahagian dan cawangan menyatakan sokongan supaya jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, perkara itu dijangka berubah susulan krisis politik yang melanda negara hujung bulan lalu yang menyaksikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas BERSATU memutuskan keluar Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Persekutuan dibentuk hasil kerjasama BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas pilihan raya umum ke-14.

Dr Mahathir selaku pengerusi dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden BERSATU bagaimanapun sehingga kini kekal dalam kerjasama dengan PH.

Krisis berkenaan turut menyaksikan kerajaan negeri PH diterajui BERSATU di Johor tumbang, manakala kedudukan kerajaan negeri pakatan BERSATU dan PH di Kedah kini goyah. BERSATU juga mungkin hilang kerusi Menteri Besar di Perak.

Pendaftaran pencalonan untuk pertandingan di peringkat MPT, Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU akan diadakan pada 16 Mac ini.

Pendaftaran pencalonan MPT membabitkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, pengerusi, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 20 ahli jawatankuasa (AJK).

Bagi Jawatankuasa Srikandi dan ARMADA, ia membabitkan pendaftaran pencalonan untuk jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 15 AJK.

Sejumlah 189 bahagian BERSATU di seluruh negara dijadual mengadakan persidangan masing-masing serentak pada 18 April ini.

Berita Harian X