Rabu, 11 March 2020 | 9:04pm

Pemilihan BERSATU: Pencalonan MPT, 2 sayap pada 16 Mac

KUALA LUMPUR: Pendaftaran pencalonan untuk pertandingan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan diadakan pada 16 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pendaftaran pencalonan MPT membabitkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, pengerusi, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 20 ahli jawatankuasa (AJK).

Bagi Jawatankuasa Srikandi dan ARMADA, katanya, ia membabitkan pendaftaran pencalonan untuk jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 15 AJK.

“Pendaftaran pencalonan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, bertempat di Tingkat 9, Ibu pejabat BERSATU, Menara Yayasan Selangor, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, Selangor.

“Borang pencalonan boleh dimuat turun mulai hari ini di laman sesawang rasmi parti www.pribumibersatu.org.my atau daripada petugas JPP di ibu pejabat parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hamid berkata, setelah JPP menyaring borang pencalonan dan bakal calon disahkan untuk bertanding, cabutan nombor calon ditetapkan pada 23 Mac, jam 10 pagi di ibu pejabat parti.

“Calon atau wakil yang tidak hadir, nombornya akan dicabut oleh JPP. Nombor calon yang telah dicabut adalah muktamad,” katanya.

Sejumlah 189 bahagian BERSATU di seluruh negara dijadual mengadakan persidangan masing-masing serentak pada 18 April ini.

Syed Hamid berkata, seperti yang ditetapkan oleh MPT, perwakilan hendaklah memilih kepemimpinan parti di peringkat nasional, iaitu AJK MPT bagi penggal 2019-2022.

Katanya, persidangan ARMADA dan Srikandi peringkat bahagian pula dijadualkan pada 11 April sebelum perwakilan memilih kepemimpinan masing-masing di peringkat nasional, iaitu AJK Srikandi dan AJK ARMADA.

Berita Harian X