Isnin, 9 March 2020 | 3:50pm
Ahmad Faizal mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan kedudukan politik Kerajaan negeri Perak di Ipoh hari ini.STR/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Ahmad Faizal mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan kedudukan politik Kerajaan negeri Perak di Ipoh hari ini.STR/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

'Saya bukan pengkhianat' - Ahmad Faizal

IPOH: Pengkhianatan terhadap mandat rakyat sebenarnya sudah lama bermula, iaitu ketika cubaan menjatuhkan menteri besar Perak sebelum ini, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Besar Perak itu berkata, sejak tahun lalu, ada desas-desus yang mengatakan jawatannya akan ditukarkan dengan pemimpin lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Sekiranya beliau dilabel sebagai pengkhianat mandat rakyat, Ahmad Faizal berkata, masyarakat seharusnya sedar pengkhianatan sebenar berpunca daripada cubaan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan sendiri.

“Kita semua tahu. ‘It is not an open secret’. Bagaimana kalau disebut sekarang orang seperti saya ini sebagai pengkhianat yang membelot mandat daripada rakyat.

“Tetapi kita seharusnya tidak lupa kepada mereka yang menduduki kerusi EXCO dan mentadbir kerajaan negeri yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat tetapi lebih sibuk kepada usaha untuk menjatuhkan menteri besar dan juga kerajaan mereka sendiri. Jadi pengkhianatan bermula di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita punca Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada PH dan mengambil keputusan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau dan rakan kepemimpinan BERSATU di negeri Perak mengambil langkah bergabung itu selaras dengan keputusan BERSATU peringkat pusat.

“Kita semua sedar daripada apa yang berlaku di dalam negara kita. Apabila bermulanya dengan BERSATU mengambil keputusan untuk keluar daripada PH dan tentu sekali di negeri Perak ini pula, BERSATU Negeri Perak mengambil pendirian untuk sehaluan dengan pendirian BERSATU peringkat pusat.

“Lebih-lebih lagi di negeri Perak ini, kita semua sedar bahawa kerajaan PH yang dipimpin saya sebelum ini yang tidak benar-benar stabil kepada negeri Perak,” katanya.

“Kita sudah memikirkan bahawa ini adalah satu gabungan yang boleh memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan boleh menubuhkan kerajaan yang lebih stabil.

“Tentu sekali ia juga lebih penting untuk kita mendapatkan sebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan yang baru-baru ini terbentuk,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau setakat ini masih lagi Menteri Besar Perak sehingga terdapatnya pengumuman baru dan titah perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Hari ini saya masih Menteri Besar Perak dan saya telahpun berurusan dengan parti UMNO dan PAS, ketiga-tiga kepimpinan parti sudahpun bersepakatan untuk menyembahkan senarai nama yang dicadangkan oleh parti masing-masing kepada Sultan Perak untuk diperkenankan,” katanya.

“Kita akan mempersembahkan senarai nama Menteri Besar terlebih dahulu dan apabila sudah mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan, maka ketiga-tiga parti akan duduk semula untuk membincangkan tentang senarai dan kemudian senarai exco yang dicadangkan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak,” katanya.

Berita Harian X