Ahad, 8 March 2020 | 1:36pm
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Halimaton Shaadiah Saad menghadiahkan bunga kepada penumpang wanita keretapi laju Alor Setar-Sungai Petani sempena Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Alor Setar, hari ini. - Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Halimaton Shaadiah Saad menghadiahkan bunga kepada penumpang wanita keretapi laju Alor Setar-Sungai Petani sempena Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Alor Setar, hari ini. - Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN

'Kemelut kepemimpinan BERSATU ibarat pergaduhan suami isteri' - Halimaton Saadiah

ALOR SETAR: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah, Halimaton Shaadiah Saad mengibaratkan kemelut kepemimpinan yang melanda parti itu sekadar ‘pergaduhan suami isteri’.

Katanya, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui parti terbabit sudah terbahagi dua, BERSATU Kedah masih dalam keadaan stabil.

“Kita (ahli) di bawah ini umpama anak-anak, jangan kucar-kacir, kita tak akan ikut ibu bapa bergaduh. Anak pula tak akan seorang sokong bapa, seorang sokong ibu. Apa kita perlu buat sekarang adalah satukan keluarga ini kembali.

“Kita (BERSATU) di Kedah tak nampak ada perpecahan, semuanya akan baik-baik saja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri selepas program mengedar bunga sempena Hari Wanita Sedunia di sini, hari ini.

Sebanyak 500 kuntum bunga diedarkan beliau bersama kakitangan Jabatan Pembangunan Wanita negeri kepada penumpang wanita yang menaiki komuter di Stesen Alor Setar.

Pada satu program di Langkawi malam tadi, Dr Mahathir yang mendakwa beliau masih Pengerusi BERSATU, mengakui parti itu sudah terbahagi dua dengan satu kumpulan menyokong Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Halimaton menegaskan, beliau akan terus menjalankan tugas diamanahkan dan berharap kerajaan negeri dapat terus bertahan sehingga penggal berakhir.

“Kita (kerajaan negeri) harap akan dapat terus bertahan sehingga habis penggal ini, banyak agenda pembangunan rakyat kita sudah rancang dan tak mahu ia hanya separuh jalan.

“Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri mempunyai pelan terbaik untuk Kedah. Walaupun ada pergolakan di atas, kita di negeri kekal, tiada EXCO dipecat atau dibuang tugas, jadi kita akan terus kerja dalam satu pasukan,” katanya.

Berita Harian X