Jumaat, 6 March 2020 | 3:16pm
Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, (duduk tiga dari kiri) mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sungai Petani. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad
Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, (duduk tiga dari kiri) mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sungai Petani. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad

Johari Abdul dilantik pengerusi baharu PH Kedah

SUNGAI PETANI: Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul mengesahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah yang baharu.

Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan PH Kedah dihadiri pimpinan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) semalam.

Johari yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi PH Kedah dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk keluar PH.

Pada sidang media hari ini, Johari menjelaskan pimpinan AMANAH dan DAP bersetuju melantik beliau sebagai Pengerusi PH Kedah yang baharu.

“Kita akan buat perubahan struktur dalam PH dan kita akan umumkan dalam masa terdekat.

“Sebagai pengerusi PH yang baharu, saya berjanji untuk meneruskan usaha PH,” katanya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata dalam kemelut politik yang melanda negara, PH akan terus menumpukan manifesto yang belum dan sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kedah antara negeri paling stabil di bawah kepemimpinan diterajui gabungan PH bersama BERSATU.

Beliau yakin tidak akan berlaku lompat parti dalam kalangan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR berdasarkan komitmen yang ditunjukkan.

“Semua ADUN memberi komitmen untuk terus menyokong Menteri Besar (Mukhriz), mereka yang ada dalam EXCO tidak berubah, status quo kekal.

“PH mengambil keputusan memberi sokongan kepada Mukhriz untuk terus kekal sebagai Menteri Besar walaupun parti beliau dan beliau sendiri keluar PH,” katanya.

Berita Harian X